I made this widget at MyFlashFetish.com.

Taubat...

PENDAHULUAN
Segala maksiat yang dilakukan oleh seorang hamba serta perkara yang melanggar tuntutan agama kepada Allah SWT merupakan suatu perkara yang dapat disembuhkan dengan cara bertaubat kepada Allah SWT.

Keinsafan yang ada pada jiwa seorang insan merupakan cahaya yang dapat menyuluh jalan hidup seorang insane yang bergelar muslim. Insane yang bertaubat ini akan menghindarkan diri mereka daripada segala kemaksiatan. Keinsafan ini merupakan suatu petunjuk dan menambahkan keyakinan diri seorang insane itu dalam menghadapi hidup dengan lebih cekal sebagai seorang insan yang beriman. Dengan keinsafan dan taubat yang mereka lakukan ini, sudah tentu mereka akan mendapat kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat.

Manusia sebenarnya tidak lepas daripada melakukan dosa kepada Allah SWT.

Dengan sebab itu, kita seharusnya pada setiap waktu bertaubat lahir dan batin. Mengakui kemaksiatan yang kita lakukan, kemudian meninggalkan kemaksiatan itu serta menggantikan maksiat itu dengan kebaikan merupakan ciri-ciri insane yang bertaubat dan tanda kecintaannya kepada Allah SWT.

Melalui doa dan munajat yang tidak putus-putus kepada Allah, semua dosa-dosa masa lalu akan dihapuskan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT:“Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman, beramal soleh, kemudian tetap di jalan yang benar. ”

Pada syariatnya, pengertian taubat adalah meninggalkan seluruh perbuatan yang melanggar syariat serta menyesali semua kemaksiatn yang telah dikerjakan selama ini. Kemudian berusaha untuk tidak melakukannya lagi di mana sahaja mereka berada. Taubat sesungguhnya itu bukan disebabkan oleh sesuatu yang lain tetapi hanya kepada Allah SWT.

Keinsafan akan lahir daripada hati kecil seorang insane dan merupakan penyesalan atas segala yang telah terjadi. Seterusnya mereka akan mengharapkan keampunan daripada Allah SWT dengan meninggalkan perbuatan dosa dan berusaha untuk melakukan kebaikan. Melalui amal kebaikan mereka itu, taubat seseorang insane itu dan seluruh ketaatannya akan diterima oleh Allah SWT.

Orang yang bertaubat hanya sekadar tidak mendapat kesempatan untuk berbuat dosa, tidaklah mereka itu dikatakan telah bertaubat kerana mereka ini hanyalah menipu diri mereka sendiri. Sebenarnya mereka itu hanya menggunakan kesempatan bertaubat itu menurut kehendak diri mereka sendiri tanpa mengikut tuntutan agama. Sebagai contoh, seseorang yang sering berfoya-foya di kelab-kelab malam kemudian dia terpaksa berkerja di kawasan luar bandar. Oleh sebab tidak mendapat kesempatan untuk melakukan maksiat tersebut dan terdedah dengan persekitaran itu yang agak berlainan dengan tempatnya dahulu, dia menyatakan telah bertaubat daripada semua maksiat itu padahal tidak timbul sedikitpun keinsafan lalu dalam dirinya. Taubat itu kemungkinan hanya sekadar untuk berubah mengikut keadaan atau suasana di tempat baru itu. Oleh hal yang demikian, taubat sedemikian tidak akan mendapat keredhaan oleh Allah SWT. Mudah-mudahan kita akan dijauhkan daripada taubat yang sedemikian.

MENYEGERAKAN TAUBAT


Taubat yang dilakukan pada usia yang lanjut atau ketike saat kematian merupakan taubat yang dilakukan dengan rasa terpaksa, bukan kerana kehendak hati. Sebenarnya taubat ini hendaklah dilakukan apabila kita merasakan telah melanggar perintah Allah SWT pada bila-bila masa sahaja. Bukanlah menunggu apabila datangnya hari tua kerana kematian itu tidak seorang pun dapat mengetahuinya.

Allah akan mengabulkan taubat orang-orang yang bertaubat kerana kejahilannya sebelum kematian mereka. Namun, orang-orang yang bertaubat ketika ajalnya akan sampai padahal dia sudah mengetahui tentang kebenaran maksiat tersebut yang menjadi kebiasaannya, maka ia akan termasuk orang-orang yang rugi.

Orang yang berjanji untuk bertaubat setelah hari tua adalah termasuk orang-orang yang sesat kerana mereka bertaubat kerana terpaksa bukan kerana kerelaan hati. Taubat tersebut tidak akan membuat diri mereka menjadi baik tetapi menjadi seseorang yang tidak mempunyai pegangan dalam kehidupannya.

Sebagai seorang yang bergelar muslim, kita hendaklah bertaubat dengan segera sebelum kematian datang untuk memutuskan segala hasrat yang kita ingin lakukan. Jika ini terjadi pada diri umat Islam, maka kita merupakan umat yang menyesal di akhirat kelak. Oleh sebab itu, kita seharusnya mendahulukan taubat agar tidak terlalu biasa dengan kemaksiatan yang akan menyebabkan tidak bernilainya taubat kita.

KEPENTINGAN BERTAUBAT

Bertaubat merupakan suatu perbuatan yang penting dalam kehidupan seorang muslim kerana mereka sememangnya tidak terlepas daripada membuat maksiat. Oleh sebab itu Allah menyeru kepada orang-orang muslim di dalam kitab Al-Quran agar kita bertaubat. Terdapat beberapa kepentingan atau kelebihan dalam kita bertaubat. Antaranya adalah:

- Allah akan sentiasa membuka pintu taubat untuk hamba-hambanya. Akan tetapi pintu taubat juga akan tertutup buat muslim itu apabila tiba masanya.
- Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun kerana walaupun manusia banyak melakukan dosa, namun jika mereka bertaubat memohon keampunan daripada Allah SWT, maka Dia akan mengampuni dosa tersebut.
- Orang yang bertaubat akan mendapat rahmat, perlindungan dan dilimpahkan rezeki serta merasa bahagia dalam kehidupan di dunia dan akhirat.
- Apabila kita bertaubat kepada Allah dengan meninggalkan segala larangannya dan mengerjakan segala yang diperintahNya, maka hidup kita akan lebih tenang daripada maksiat tersebut.
- Apabila kita bertaubat dengan penuh keinsafan, taubat itu dapat menguatkan iman di dalam hati kita lagi serta dapat mencegah kita daripada kemungkaran. Walaupun kita terlanjur dalam melakukan maksiat, dan jika kita mahu bertaubat dan menginsafi terhadap kesilapan tersebut, maka Allah akan tetap memberi keampunanNya. Begitu pemurahnya Allah SWT terhadap hamba-hambaNya. Hanya terpulang kepada individu itu sendiri.

SYARAT-SYARAT BERTAUBAT

Sebenarnya taubat yang kita lakukan kepada Allah SWT tidak semestinya akan dapat diterima segai suatu taubat kerana taubat yang diterima oleh Allah SWT adalah taubat yang dilakukan dengan syariat syarat-syarat yang dianjurkan. Antara syarat-syarat tersebut adalah:

1. Taubat itu hendaklah ikhlas kepada Allah SWT.
Kehidupan kita sebagai seorang muslim ini adalah bergantung kepada keredhaanNya untuk mendapat rahmatNya bukan kerana terpaksa atau mengikut keadaan sekeliling. Allah SWT tidak akan menerima taubat yang dilakukan melainkan dengan rasa ikhlas semata-mata keranaNya. Oleh hal yang demikian, kita haruslah berjaga-jaga kerana banyak kebaikan yang dilakukan oleh seseorang tidak disertai dengan keikhlasan kerana perbuatan tersebut tidak akan mendapat pahala daripada Allah SWT.
2. Meninggalkan seluruh kemaksiatan.
Apabila kita bertaubat dalam meninggalkan dosa tersebut, kita hendaklah meninggalkan seluruh maksiat tersebut serta bersungguh-sungguh untuk mengulanginya lagi. Jika seseorang itu berniat untuk bertaubat, maka segala maksiat itu harus ditinggalkan meskipun terlalu sukar untuk melakukannya.
Sebenarnya maksiat itu akan mengikis keikhlasan dan kemurniaan hati seseorang. Oleh itu, orang-orang yang bertaubat haruslah meninggalkan maksiat tersebut agar jiwa kita sentiasa bersih kerana jiwa yang bersih akan melahirkan perbuatan yang baik yang akan diterima oleh Allah SWT sebagai amalan yang mendapat keredhaan dan balasan pahala yang besar disisiNya.
3. Menyesali atas kemaksiatan yang dilakukan.
Dalam bertaubat, kita seharusnya menyertai dengan rasa penyesalan atas semua maksiat tersebut dan berusaha untuk meninggalkanya. Taubat itu akan akan menjadi ikhlas apabila disertai dengan penyesalan dan perasaan sedih di hadapan Allah SWT. Bermunajat kepada Allah pada waktu malam merupakan masa yang sesuai kerana dapat berbicara secara langsung dengan Allah SWT.
4. Tidak mahu mengulangi lagi kemaksiatan masa lalu.
Seseorang itu akan dianggap berdusta kepada Allah SWT apabila mereka ini mengaku bertaubat namun mengerjakan apa yang menjadi kebiasaannya yang dilakukan pada masa lalu. Mereka ini hanya meninggalkan dosa tersebut buat sementa waktu sahaja. Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa-dosa orang yang berdusta kepadaNya kecuali ia benar-benar melepaskan diri dan hatinya daripada dosa tersebut. Oleh sebab itu, apabila kita mahu meninggalkan maksiat tersebut selama-lamanya, kita hendaklah berazam agar untuk tidak mengulanginya lagi dan menggantikan perbuatan maksiat tersebut dengan beramal kepada Allah siang dan malam agar dapat dijadikan benteng dalam menghindarkan diri daripada maksiat tersebut.
5. Taubat dilakukan sebelum ajal tiba.
Taubat itu akan menjadi sia-sia di saat ajalnya sampai kerana apabila roh itu sampai di kerongkong kita maka pintu taubat itu tertutup maka taubat itu akan menjadi sia-sia. Oleh itu, orang-orang yang melambat-lambatkan taubat itu adalah termasuk orang-orang yang rugi disebabkan ingin merasai kepuasan hidup di dunia dengan melampaui batas-batas agama.

MASA YANG SESUAI UNTUK BERTAUBAT

Sememangnya taubat sangat diperlukan oleh seseorang semasa mereka menjalani kehidupan di dunia ini kerana apabila tiada kesempatan untuk bertaubat semasa di dunia, maka kehidupan di akhirat akan menjadi suatu penyesalan yang tiada erti lagi. Oleh itu, kita seharusnya merebut peluang kehidupan di akhirat kelak yang kekal abadi itu dengan mendapat rahmat dan balasan syurga daripada Allah SWT. Allah sentiasa menyeru agar kita segera bertaubat. FirmanNya:“dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. ”Allah SWT telah member kesempatan kepada kita untuk kita bertaubat iaitu sebelum maut datang menjemput kita dan sebelum kiamat terjadi. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda:“Dari Shawan bin ‘Asal berkata; bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesunggunya sebelm matahari terbit daripada barat, ada sebuah pintu terbuka yang lebarnya 70 tahun, dan pintu itu akan selalu terbuka untuk bertaubat, sampai matahari terbit dari barat. Apabila sudah terbit dari barat maka tidaklah berguna jiwa yang keimanannya yang tidak beriman sebelumnya atau berbuat kebaikan dengan keimanannya itu. ”

Oleh hal yang demikian, masa yang sesuai untuk kita bertaubat adalah ketika kita masih muda iaitu di saat kita mampu untuk beramal melakukan ibadat dan membuat kebajikan. Bukan menunggu apabila usia tua kerana perbuatan itu hanyalah perbuatan orang-orang yang lalai.

MEMBERSIHKAN HATI DARIPADA DOSA

Dalam bertaubat ini, kita hendaklah sentiasa beringat agar kita tidak mengulangi dosa tersebut. Oleh itu, kita haruslah merangka suatu amalan agar dapat melepaskan ikatan dosa tersebut kerana dosa itu adalah racun yang sangat berbahaya meskipun ia pahit namun jiwa dan nafsu merasakan dosa itu manis. Antara perkara-perkara yang dapat melepaskan ikatan hati daripada dosa tersebut adalah:
- Belajar dan beramal – Dosa disebabkan oleh kejahilan dan kelalaian adalah dengan beramal dengan ilmu yang diperoleh, bertagwa kepada Allah dan bergaul dengan orang yang soleh yang dapat membimbing kita.
- Berpegang teguh dengan Al-Quran – Al-quran adalah penenang hati kerana di dalamnya terdapat hikmah dan nasihat-nasihat serta kisah-kisah sebagai panduan yang dapat membina hati kearah kebaikan. Oleh itu, setiap individu hendaklah mengerjakan perintah dan hukum-hukum Allah berdasarkan Al-Quran itu.
- Takut hukuman Allah – Takut dengan hukuman Allah di dunia apatah lagi di akhirat kelak akan menjadikan kita muslim yang taat.
- Memakan makanan halal – Makanan halal ini penting agar amalan yang kita lakukan akan diterima oleh Allah SWT.
- Mengingati mati – Apabila kita mengerti akan maksud kematian, kita akan sentiasa menahan hawa nafsu, takut akan dosa-dosa serta menghindari diri kita daripada perkara yang dapat menjauhi daripada rahmat Allah SWT.
- Sentiasa beristighfar dan solat – Istighfar merupakan ubat yang mujarat dalam mengubati penyakit jiwa, fikiran dan perasaan. Mendirikan solat juga dapat mendekati kita kepada Allah SWT.
BERTAUBAT DARI DOSA
Terdapat beberapa dosa yang perlu dititik beratkan dalam bertaubat agar kita dapat membersihkan dosa daripada taubat itu dengan cara yang betul. Antara jenis-jenis dosa tersebut adalah:
- Syirik. Dosa syirik ini adalah dosa yang besar dan hina. Barang siapa yang menyekutukan Allah SWT, nescaya akan dijauhkan daripada rahmat Allah dan neraka adalah tempat tinggal mereka. Namun masih ada kesempatan untuk orang oran kafir untuk bertaubat daripada kemusyrikannya.
- Dosa yang berhubung dengan hak-hak Allah. Jika kita melakukan dosa kerana meninggalkan kewajipan seperti sembahyang atau puasa, kita haruslah meminta ampun kepada Allah dan menggantikan amalan tersebut atau membayar kifarah atau denda bagi amalan yang perlu kita berbuat demikian jika kita melakukannya. Jika kita melakukan dosa kerana kebodohan dan kejahilan, maka haruslah kita menuntut ilmu. Jika sampai ke peringkat kekufuran maka hendaklah mengucap kalimah syahadah kembali.
- Dosa yang berhubung dengan hak-hak manusia. Jika kita telah mengambil sesuatu barang tanpa kebenaran pemiliknya, maka kita wajib memulangkannya kepada pemiliknya semula atau pewarisnya jika dia sudah meninggal. Jika menemui kesukaran, maka cukuplah dengan memohon ampun daripada Allah SWT. Yang tinggal hanyalah tanggungjawab dan kezalimannya terhadap manusia. Oleh itu, ampunan Allah sangat diharapkan agar kita terhindar daripada dosa tersebut.

KESIMPULAN

Dalam bertaubat sebenarnya kita seharusnya mempunyai sifat bersungguh-sungguh agar taubat yang kita lakukan itu diterima sepenuhnya oleh Allah SWT dan sehingga kita meninggalkan dunia ini dalam keadaan yang sentiasa bertaubat. Terdapat tiga keutamaan dalam menjaga taubat tersebut agar sentiasa berada pada landasan yang betul. Yang pertama adalah kita perlulah mengikhlaskan taubat tersebut dengan cara sentiasa mengingatkan diri kita agar tidak merasa aman daripada seksaan Allah SWT, selalu mengingati mati dan mencintai Allah SWT, Rasul serta saudara sesama muslim. Yang kedua, kita haruslah sentiasa berhati-hati agar taubat yang kita lakukan itu tidak akan kembali berpaling iaitu dengan tidak mengikut hawa nafsu. Selain itu, kita jangan menganggap rahmat Allah SWT itu luas terhadap hamba-hambaNya yang berbuat dosa kerana seksaannya juga keras dan pedih. Kita juga jangan meringan-ringankan dosa tersebut sehingga tiada lagi perasaan takut untuk berbuat maksiat. Yang ketiga, kita perlulah menyempurnakan lagi taubat tersebut agar taubat tersebut tiada cacat celanya dengan cara bertaubat mengikut syariat yang telah ditetapkan. , mengikis habis bekas-bekas dosa tersebut, menjaga anggota baban agar tidak berbuat dosa, bertekad agar taubat yangdilakukan itu akan dilakukan sampai akhir hayat dan mengingat kembali apa yang dikerjakan sebagai pengajaran untuk diri sendiri dan orang lain.

Kesimpulannya, sebagai manusia yang menyatakan beragama Islam dan mengaku telah beriman kepada Allah SWT, seharusnya kita perlu sentiasa berfikir tentang apa yang kita telah lakukan selama ini serta sentiasa sama-sama bermuhasabah diri agar diri mendapat keredhaan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Amin. .