I made this widget at MyFlashFetish.com.

Konsep Malu dalam Islam...

PENDAHULUAN

Bismillahirrahmaanirrahiim…

Segala puji bagi Allah S.W.T diatas rahmat dan kasih sayang-Nya serta keredhaan-Nya memberikan saya ruang dan peluang untuk mendapatkan ilmu di dunia dan akhirat. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W serta para sahabat.

Sesungguhnya malu merupakan sifat yang paling utama yang dapat menjauhkan manusia daripada perbuatan rendah akhlak dan mencegahnya dari keruntuhan moral dan bergelumang dengan dosa. Sebagaimana malu juga merupakan faktor pendorong yang utama pada perbuatan mulia.

Kesan yang paling besar hilang malu ialah kita tengok masyarakat kita hari ini, pelbagai gejala yang tidak sihat berlaku antaranya yang amat ketara ialah kes bunuh, liwat, rompakan, masalah seksual dan sebagainya. Ini adalah berpunca daripada hilangnya perasaan malu dalam diri mereka yang terbabit.

Oleh yang demikian, kita seharusnya memupuk sifat malu di dalam diri, keluarga dan masyarakat. Ibubapa memainkan peranan yang penting dalam membentuk sifat malu di dalam diri anak-anak. Bak kata perpatah “melentur buluh biarlah dari rebung” agar dapat mehindarkan diri daripada melakukan sebarang perbuatan yang tercela dan dimurkai Allah s.w.t.

PENGENALAN MALU

Istilah al-hayaa’u (malu) berasal dari perkataan al-hayaatu (hidup). Hujan disebut kehidupan kerana dengan danya hujan bumi dan tumbuh-tumbuhan dapat hidup. Begitu juga dengan malu iaitu disebut sebagai kehidupan dunia dan akhirat. Oleh itu, mereka yang tidak mempunyai sifat malu dianggap mati didunia dan akan menderita di akhirat.

Ini kerana, malu adalah merupakan kunci kepada kebaikan: Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dalam kita Al-ADAB, sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:“ malu itu hanya mendatangkan kebaikan “

Malu merupakan asas yang kuat untuk membentuk iman yang utuh. Allah s.w.t mengkhususkan sifat malu ini kepada manusia agar mereka terhindar dari keburukan dan kehinaan agar mereka tidak sama seperti binatang yang menerkam segala yang diingininya tanpa rasa malu.

2 Jenis Sifat Malu


- Malu Jibiliyyun, iaitu malu yang bersifat semulajadi. Contoh malu yang bersifat fitrah ini ialah malu untuk telanjang. (Nabi Adam dan Siti Hawa a.s pada awal lagi mereka malu untuk mendedahkan aurat masing-masing lantas apabila terdedah cepat-cepat mereka tutup dengan daun anggota tertentu.)

- Malu Kasabiyyun, iaitu malu yang diusahakan. Pada asalnya malu bukanlah bersifat diusahakan namun untuk menyempurnakannya ia boleh diusahakan. Contohnyahasil usaha dan kajian yang membentuk sifat makrifatullah, iaitu menjadikan seseorang itu malu kerana takut akan keesaan Allah s.w.t. Malu imani ini dapat mencegah seseorang itu daripada membuat dosa.


Diantara Kebaikan Sifat Malu Ialah:

- mencegah keburukan dan sebarang perbuatan dan pertuturan yang mendatangkan fitnah.

- Memelihara diri dari melakukan kemungkaran dengan memastikan diri sentiasa terhidar dari aktiviti yang tidak sihat serta bahan-bahan bacaan serta hiburan yang boleh merosakkan akidah.

- Menjadikan diri istiqamah dalam membuat kebaikan.

- Menjadikan diri sebagai anak yang baik serta masyarakat yang bertanggungjawab.

Diantara Keburukan Sifat Malu Ialah:

- Malu kepada manusia melebihi malu kepada Allah s.w.t contohnya: ketika berseorangan abaikan solat kerana tidak malu kepada yang maha melihat dan ketika bersama kawan mula timbul perasaan malu untuk menunaikan solat.

- Malu yang tidak kena pada tempatnya, contohnya malu untuk bertanya arah sesuatu perjalanan yang menyebabkan sesat jalan.

- Malu dengan kekurangan diri dan tidak bersyukur. Menjadikan diri rendah diri dan tidak bersyukur dengan nikmat ujian Allah s.w.t.

RASA MALU PARA SAHABAT WANITA
Setiap wanita di wajibkan menjaga aurat mereka daripada terdedah kepada mereka yang tidak sepatutnya. Mereka juga hendaklah menjaga pandangan dan perbuatan daripada sebaramg perbuatan yang menimbulkan fitnah.
Para sahabat sama ada lelaki mahupun wanita mengambil ketauladanan Rasulullah Berikut adalah contoh akhlak dan perilaku mereka. : Fatimah r. a dating kepada Rasulullah ingin bertanya tentang khadim (pembantu laki-laki) tetapi ia malu untuk bertanya pasal lelaki itu lantas ia menanyakan tentang kesejahteraan baginda.
Dari Ummul Mukminin Aisyah r. a berkata “ saya masuk ke kawasan di mana Rasulullah saw dan ayahku (Abu Bakar r. a) dimakamkan. Aku tanggalkan kainku sambil; berkata “ ditempat ini hanya ada suami dan ayahku. Dan ketika umar r. a dimakamkan disitu, demi Allah aku tidak masuk ke situ melainkan kainku dalam keadaan terikat kuat kerana malu kepada jenazah Umar.

RASA MALU PARA SAHABAT LELAKI
Umar r. a berkata: ‘ barangsiapa yang sedikit rasa malunya, maka sedikit pula pertahanan dirinya. Barang siapa yang sedikit pertahanan dirinya, maka hatinya akan mati. ” Selanjutnya baginda berkata, “ barangsiapa malu hendaknya ia menutup, barangsiapa yang takut ia akan dilindungi”.
Dalam sebuah riwayat Rasulullah SAW bersabda, “ uthman itu seorang laki-laki pemalu, saya khuatir apabila saya izinkan dia masuk sedang keadaan saya seperti itu, ia tidak jadi menyampaikan keperluannya menemuiku. ” Ini adalah tentang keadaan Rasulullah yang terselak kainnya hingga menampakkan betisnya ketika Abu Bakar dan Umar menemui baginda namun diperbetulkan kedudukannya ketika Uthman dating untuk menemui baginda.
Dalam hadis lain Nabi bersabda: “ malu itu sebahagian dari iman, orang yang paling malu di antara umatku adalah uthman.

MALU PADA DIRI SENDIRI
Orang yang malu kepada manusia lain dan tidak malu kepada diri sendiribeerti dirinya lebih hina dari orang lain. Oleh itu, bila ada dorongan untuk membuat kejahatan, maka hendaknya ia membayangkan seseorang sedang melihatnya.
Manusia biasanya malu kepada orang yang lebih tua dari yang muda. Kerana itu mereka tidak malu pada anak kecil atau haiwan. “orang yang malu melakukan sesuatu pekerjaan secara terang-terangan namun ketika berseorangan secara diam-diam dia mengerjakannya. , maka orang itu tidak mempunyai harga diri. ”
Sesungguhnya rasa maluseseorang pada dirinya adalahrasa malu jiwa yang mulia, terhormat dan agung. Barangsiapa yang reda terhadap kekurangan dirinya dan puas terhadap kemuliaannya, maka dirinya akan malu pada jiwanya sendiri, sehingga seolah-seolah ia memiliki dua jiwa yang satu malu pada jiwa yang lainnya. Ini yang dinamakan malu sempurna. Seseorang yang malu kepada dirinya maka rasa malunya terhadap orang lain lebih besar.

MALU KEPADA MALAIKAT
“ sesungguhnya bagi kamu ada malaikat-malaikat yang mengawasi (perbuatanmu). Yang mulia (disisi Allah) dan yang mencatat (perbuatanmu). Mereka mengetahui apa yang kamu buat. “
(AL-INFITAR: 10-12)
Maksudnya:
Hendaklah kamu malu kepada pengawasmu yang mulia, hormati dan muliakan mereka. Mereka itu melihat akan apa yang engkau perlakukan. Para malaikat akan mencela apa-apa yang dicela oleh anak adam. Jika ada anak adam mencela orang yang berbuat keji dan maksiat di antara mereka padahal dia sendiri pun (yang mencela) kadangkala melakukan hal yang sama, maka layaklah bila malaikat yang mulia yang bertindak sebagai pengawasmu juga mencelanya. Kepada Allah-lah kita minta pertolongan.


MALU KEPADA MANUSIA
Tidak ada kebaikan dalam diri orang yang tidak merasa malu. Malulah terhadap orang yang mana orang disekitarnya malu padanya. Hamper semua orang fasik malu melakukan perbuatanburuk di hadapan orang salih, orang terhormat. Ia malu bila orang salih mengetahui dialah pelaku keburukan. Allah mengetahui semua perbuatan makhluk-Nya.
Rasa malu seseorang terhadap laki-laki salih dari kaumnya akan menjauhkannya dari semua perbuatan maksiat. Inilah wasiat yang disampaikan Nabi SAW, dan tauladan yang dapat diambil. Nabi Saw telah mengangkat sifat malu ini sebagai hokum terhadap semua perbuatan manusia, dan menjadikannya sebagai pengikat dan timbangan.

MALU KEPADA ALLAH S.W.T
Malu itu memberi kesan yang baik jika diamalkan untuk sesuatu yang baik. Manfaat yang besar dari sifat malu terhadap manusia ialah membioasakan diri berperilaku terpuji dan menjauhkan diri dari perbuatan yang tercela. Orang yang malu apabila perbuatan buruknya diketahui manusia, maka malunya terhadap Tuhannya melebihi malunya terhadap manusia. Kerana itu ia tidak akan melalaikan kewajipan dan tidak akan berbuat kesalahan, kerana seseorang mukmin tahu bahawa Allah melihat semua perbuatannya. Rasa malu mencegahnya berbuat demikian. Dan juga pada hari kiamat nanti ia harus mengakui semua perbuatannya, jika ia berbuat dosa pengakuannya itu akan memnbuatnya terhina, kerana itu ia akan meninggalkan perbuatan yang terhina. Inilah yang dinamakan dengan malu yang sesungguhnya. Malu yang demikian hanya mendatangkan kebaikan.

MELAHIRKAN SIFAT MALU
Sepertimana yang di ketahui Sifat Malu terdiri dari 2 jenis iaitu bersifat Jabaliyyun dan Kasabiyyun. Berikut adalah langkah-langkah untuk melahirkan sifat malu kasabiyyun dan mengukuhkannya;

i. Menahan diri dari melakukan perkara yang memudarkan perasaan malu dalam diri dari segi perbuatan mahupun pertuturan. (percakapan dan perbuatan yang tidak senonoh serta ditegah agama)

ii. Istiqamah dalam mempelajari keutamaan malu, serta menyematkannya di dalam hati dan tanamkan keinginan untuk memelihara sifat tersebut.

iii. Meningkatkan iman dan akidah dalam hati. Ini kerana malu adalah buah kepada iman dan ma’rifatullah Azza Wa Jalla.

iv. Beribadah dengan merenungi asmaul husna yang berkaitan dengan sifat Allah yang mengawasi gerak-geri hati dan perbuatan manusia.

v. Mengerjakan ibadah-ibadah wajib dan sunnah seperti solat, puasa, zakat dan lain-lain yang Allah firmankan dalam Al-Quran.

vi. Bersikap jujur dan menjauhkan dusta, ini kerana sikap jujur membimbing kita ke arah kebajikan. (malu sebahagian dari kebajikan)

vii. Membiasakan diri bersikap malu setahap demi setahap, sampai jiwa dan hati telah menyatu dengan sifat tersebut dan malu menjadi tabiat dan perilaku jiwa.

viii. Bergaul dengan orang-orang salih. Mencontohi tingkah laku mereka, mendengarkan perbicaraan mereka serta mempelajari rasa malu mereka.

ix. Mewujudkan sifat malu Rasulullah sebagai contoh teladan yang baik untuk manusia, menelaah sejarahnya yang mengharumkan. Rasa malu yang ada pada sahabat r. a juga harus diteladani.

x. Memisahkan diri dari lingkungan yang rosak yang mencegah akhlak yang terpuji terutama kerosakan yang timbul dari pengaruh media massa dan media elektronik.

KESIMPULANNYA
“ malu dan Iman saling berpasangan. Bila salah satunya hilang, maka yang lain turut hilang” (hadis riwayat Hakim dalm kitab Al-Mustadrak jilid I halaman 22)

Dari Abu Hurairah r. a sabda Rasulullah yang membawa maksud:
“ iman itu ada 70 bahagian. Bahagian yang paling tinggi adalah kalimat laa ilaahaillallah, dan yang paling rendah adalah menyingkirkan duri dijalan. Dan malu adalah sebahagiaan dari iman. ”

Diantara keutamaan malu ialah:
- Malu merupakan kunci segala kebaikan
- Malu merupakan fitrah manusia yang istimewa
- Malu adalah iman
- Malu ialah perhiasan paling cantik
- Malu merupakan sebahagian sifat ALLAH Azza Wa Jalla
- Malu adalah suatu watak yang disukai Allah s.w.t
- Malu merupakan ajaran para nabi
- Malu merupakan akhlak para nabi a.s dan Nabi Muhammad s.a.w
- Malu adalah akhlak yang islami.

Dengan demikian haruslah kita sama-sama memupuk sifat malu dalam diri masyarakat kita agar masing-masing terpelihara daripada sebarang kemungkaran. Aminn…