I made this widget at MyFlashFetish.com.

Nilai Disebalik Persahabatan...

PENDAHULUAN
Segala puji bagi Allah SWT yang memberikan kekuatan kepada hamba-hambaNya untuk terus hidup berkongsi manfaat kurniaan dan nikmat-nikmatNya. Selawat dan salam ke atas junjungan kita Muhammad SAW yang telah membimbing para sahabatnya sehingga mereka menjadi golongan yang turut dijadikan petunjuk bagi umat baginda.

Umum mengetahui sahabat adalah peransang, penghibur, pembentuk dan segala-galanya dalam hidup ini. Hanya yang membezakan sedikit atau banyaknya memperolehi manfaat persahabatan itu adalah bergantung kepada ramainya sahabat di kalangan teman-teman dan bagaimana kita menghayati hubungan persahabatan untuk dimanfaatkan. Kita sering melihat bagaimana besarnya pengaruh persahabatan itu dalam pembentukan personaliti, kendiri, motivasi dan sikap seseorang sahabat itu serta diri kita sendiri. Kita akan lebih berani apabila merasakan apa yang dilakukan tidak berseorangan dan disokong atau diteman. Seseorang sahabat jarang untuk berani tampil melakukan sesuatu yang dianggap besar jika ia berseorangan, mengejar sebuah kejayaan yang tinggi itu juga dirasakan lebih seronok dan lancar dengan iringan mereka yang bergelar sahabat walaupun hanya seorang sahaja yang sanggup dan mempunyai pemikiran yang terbuka untuk untuk menemani kita dan bersama melakukannya.

Disamping kita melihat dari sudut positif tentang persahabatan ini, kita juga perlu meneliti dari aspek kejahatan. Manusia itu lebih terlampau dan berani di dalam kejahatan jika yang dilakukan itu mendapat sokongan serta iringan turut serta daripada seorang sahabat. Dunia hari ini jelas menunjukkan dan membuktikan bahawa manusia telah banyak menyalahgunakan manfaat dengan mengambil persahabatan sebagai perangsang untuk melakukan kejahatan secara beramai-ramai. Berlaku pelbagai kes antaranya kes rogol bergilir-gilir, merompak secara berpasukan, gengsterisme, vandalisme, lumba haram, merempit dan sebagainya.

Kita sebagai manusia normal pasti berasa selesa dan aman jika lebih ramai orang yang bersahabat itu menggunakan kesetiaan hubungannya untuk melakukan kebaikan dan khidmat kepada masyarakat. Sesungguhnya masyarakat hari ini amat memandang dan mengharapkan sumbangan mereka.

Kita berasa amat sedih apabila orang yang kita harapkan untuk berbakti dan berjasa kepada masyarakat menghampakan kita. Sikap kurang moral sesetengah pihak sudah tentu tidak mementingkan masalah komunikasi yang baik. Kita akan bertambah sedih apabila seorang yang baik dan berilmu kurang mahir di dalam berkomunikasi dan tidak suka menghiraukan sensitiviti orang lain.

Ada kalanya kita tidak sedar bahwa kita sedang berlagak dengan angkuh dan sombong tatkala cuba berbakti dengan seseorang yang memerlukan ilmu. Sebab itulah ahli bijak pandai banyak mengingatkan bahawa jangan sesekali merasakan diri kita ”sudah berilmu” melainkan orang yang mengaku sedemikian sebenarnya adalah orang yang jahil. Itulah yang akan membentuk sikap seseorang di dalam menyampaikan ilmu. Seseorang yang berilmu akan terus merasakan dirinya masih serba kekurangan lalu dengan perasaan sedemikian membuatkan ia merasa perlu lagi belajar dan saling bertukar manfaat. Maka sesebuah persahabatan itu patut diserapkan dengan nilai2 penting iaitu adap-adap kesopanan dan hormat-menghormati sesama manusia, kebersihan jiwa daripada sebarang penyakit hati, motivasi yang membangunkan semangat ke arah kebaikan serta kejayaan dan pembentukan sikap peribadi yang tinggi.

PENGENALAN

Di era globalisasi sekarang, ramai orang mengaku atau merasakan dirinya sedang bersahabat dengan seseorang dan dikelilingi oleh para sahabat yang ramai. Kadang kala kita perlu memikirkan apakah nilai sebenar di sebalik sesebuah persahabatan yang bermakna? Adakah kita sedar bahawa hanya mempunyai teman untuk bergelak ketawa sudah mencukupi? Adakah cukup menjadikan seorang teman yang baru kenal itu sebagai seorang sahabat sejati? Agak sukar bagi kita sekarang untuk mencari sahabat sejati berbanding zaman dahulu kerana zaman sekarang semakin penuh dengan penipuan dan pupusnya nilai-nilai kejujuran.

Dunia hari ini dipenuhi dengan orang yang mengejar kebendaan semata-mata sampaikan sikap itu dalam diam akan mencemari sesebuah persahabatan itu. Apa sahaja yang dilihatnya semua berupa wang ringgit atau ganjaran kepentingan untuk dirinya sendiri.

Sesungguhnya kita amat perlu untuk memahami apakah persahabatan itu kerana kita memang tidak boleh lari daripadanya disamping perlu juga memahami nilai-nilai persahabatan itu di samping memperolehi segala jenis manfaatnya.

Sebagaimana kita memahami bahawa cinta merupakan salah satu unsur yang mesti ada dalam setiap hasil ciptaan Allah S.W.T maka kita perlu sedar juga bahawa persahabatan itu adalah merupakan suatu permulaan bagi sesebuah hubungan percintaan.

Persahabatan tidak mampu dikenal pasti secara tidak jujur kecuali ianya dengan kata-kata dan tingkah laku. Namun yang lebih menilai harga sesebuah persahabatan adalah naluri yang terlahir daripada jiwa. Nilainya sesebuah persahabatan itu hanya lebih dirasakan di dalam diri. Keselesaan dan kebahagiaan yang lahir daripada jalinan persahabatan yang sebenar turut dinikmati oleh jiwa.

Seseorang sahabat perlu merupakan seorang yang bukan mengharapkan sesuatu dari sahabatnya dan bukan kerana takutkan sesuatu. Jika ini berlaku, itu bukan sahabat namanya. Lebih sesuai dan bertepatan jika kita gelarkan bahawa seseorang yang seperti itu adalah seorang pengampu atau seorang yang penakut. Kita amat mudah mengenali kawan yang seperti ini di dalam sesebuah pergaulan seharian. Ini kerana kita tidak perlu mencari siapa yang bergelar pengampu ini kerana pengampu ini tabiatnya memang mencari. Kita tidak mencari ia tetapi ia mencari kita.

Kelakuan seorang yang bergelar seperti ini mungkin berlebih-lebihan dalam melakukan sesuatu kebaikan tidak berpada, berlemah lembut tidak bertempat, memuji hal yang tidak perlu dipuji, tidak sering menegur kesalahan dan sebagainya. Apa yang jelas pada orang sebegini adalah lakonannya tunjuk-tunjuk berani tidak tentu hala. Sedangkan dari air mukanya sahaja telah menunjukkan ketakutannya terhadap apa yang diharapkan olehnya. Orang sebegini tidak boleh menjadi sahabat kerana ia langsung tidak membawa sebarang manfaat terhadap seseorang. Alangkah malangnya menjadi seorang pengampu atau penakut. Sedangkan seseorang itu sepatutnya sedar bahawa persahabatan itu secara tidak langsung atau tanpa diminta akan pasti menganugerahkan sesuatu yang berharga kepada mereka yang berlaku jujur terhadapnya.

Apa yang baik di dalam persahabatan itu adalah saling bantu-membantu memperbaiki kesilapan dan kesalahan setiap orang yang bersahabat. Oleh itu, jangan hanya mencari sahabat yang diperhatikan tidak mempunyai sebarang kelemahan. Kalau hendak mencari sahabat yang tiada kesalahan sama sekali, atau memegang prinsip untuk memutuskan persahabatan lantaran terdapat kesalahan, alamatnya kita tidak akan mendapat sahabat sampai bila-bila. Kalau ada pun, persahabatannya bertukar ganti tidak pernah kekal. Datang dan berlalu pergi. Kemudian datang lagi atau hilang tidak terkesan.

Maksud Persahabatan

Sahabat sering difahami sebagai teman, kawan, sobat, nyapang, jalis, handai, sekutu, taulan, rafik, syarik, dongan, alif, kenalan, konco, rakan, saing, saudara, atau dengan (kamus dewan). Setiap maksud yang difahami membayangkan kita dengan sifat keiintiman atau kebersamaan makhluk di antara satu sama lain.

Maksud yang kedua pula adalah sebagaimana yang diungkapakan kepada para sahabat Rasulullah SAW. Iaitu sahabat denagan maksud pengikut atau murid(kamus dewan). Maka setiap orang Islam yang mengikuti dan menerima didikan daripada Rasulullah SAW pada zaman itu dipanggil sebagai sahabat.

Para ulama mendefinisikan Sahabat sebagai seorang yang hidup pada zaman Rasulullah SAW dan mati dalam keadaan Islam. Walaupun hanya sekali sahaja pernah berjumpa dengan Baginda, maka beliau tetap dianggap sebagai Sahabat. Demikian kerana agungnya nur Muhammad itu menjadikan sekelilingnya juga turut disinari dengan keagungannya.

Persahabatan Dan Cinta

Kadang kala setiap orang akan menempuhi satu situasi di mana kita perlu untuk membuat pemilihan. Membuat keputusan untuk memilih salah satu sahaja yang terbaik bagi kita. Tatkala itu kita merasa serba salah untuk memilih yang mana sedangkan kedua-duanya sama penting di dalam kehidupan kita.

Mungkin situasi ini terjadi pada kita di kalangan para sahabat, ibubapa yang dicintai, atau kekasih dan sebagainya. sedangkan pada waktu itu kita amat menghargai persahabatan dan amat menyintai cinta. Kita berdepan dengan situasi di mana kita merasa bahawa kedua-dua pihak amat memerlukan kita.

Inilah waktu yang sebenar-benarnya akan menguji kita. Setinggi manakah tahap kematangan kita dan bagaimana juga kita menilai bahawa setiap sesuatu itu mempunyai tingkatan atau tahap keutamaannya yang tersendiri.

Bagi yang lelaki, pada waktu ini khusus untuk menguji tahap kematangan, ketegasan sejati sebagai seorang lelaki membuat keputusan, kebijaksanaan memilih dan bagaimana ia memanfaatkan 90 peratus akalnya disamping tidak mensia-siakan sifat kasih sayang.

Bagi perempuan pula, pada masa itulah masanya ia melawan perasaan cintanya demi kebaikan hidupnya dan pada waktu itu juga ia perlu akur dengan kehendak serta keputusan orang yang dicintainya.

Mungkin bagi seorang lelaki amat susah untuk dirinya mengawal ego serta ketegasan diri mengutamakan akalnya lalu sanggup tidak memandang harga sebuah cinta. Manakala bagi seorang perempuan pula agak susah untuk mengorbankan perasaan cintanya buat sementara waktu semata-mata bagi mengundang keselesaan hidup masa depan.

Apabila berhadapan dengan keadaan sedemikian, ada yang mengatakan kita perlu mengutamakan persahabatan kerana ia adalah hubungan yang terjalin lantaran pertimbangan akal manakala percintaan itu terjalin lantaran dorongan kehendak nafsu perasaan. Sebahagian pula mengatakan bahawa kita perlu mengutamakan percintaan kerana ia lebih menjamin perasaan kita dan lebih tulus pengorbanannya.

Sesungguhnya persahabatan dan percintaan itu merupakan dua unsur yang tidak boleh dipisahkan. Tidak boleh juga ditinggalkan walau salah satu daripadanya pun di sepanjang hayat kita.

ASAS PERSAHABATAN DAN PERGAULAN DALAM ISLAM

Terdapat banyak asas persahabatan dan pergaulan dalam Islam jika kita mengkaji ia secara menyeluruh, namun di sini terdapat 6 asas yang utama yang perlu kita teliti demi mendapat manfaat yang menyeluruh dari sesebuah persahabatan itu.

Asas persahabatan dan pergaulan dalam Islam:

Bertolong-tolongan dalam berbuat kebaikan dan taqwa.

Berkata benar walaupun pahit.

Ikhlas dalam bersahabat.
1. Menjauhi sifat hasad dengki.
2. Hikmah dan bijaksana.
3. Bersangka baik.

Islam amat melarang penyakit-penyakit hati terhadap sesama manusia. Diantara penyakit hati yang paling dahsyat adalah hasad dengki kerana daripada penyakit inilah akan terlahirnya penyakit-penyakit lain. Seterusnya dari hati akan mengalir ke anggota tubuh sehingga melahirkan tindakan.

Inilah asas yang ke-4 yang terpenting, daripada hasad dengki inilah akan berpuncanya kata-kata penyebar fitnah. Begitu juga dengan tindak tanduk yang tidak menyenangkan setiap orang. Malahan tindakan dan kata-kata yang lahir daripada hasad dengki itu mampu merosak dan memusnahkan sesuatu tidak kira ianya berbentuk harta benda, kekayaan, kemampuan, kebahagiaan dan sebagainya.

Allah SWT pernah berfirman agar umat Islam memohon perlindungan daripada perbuatan hasad dengki ini melalui surah al-Falaq :

1. Katakanlah: "Aku berlindung kepada Tuhan yang menguasai subuh,
2. Dari kejahatan makhluk-Nya,
3. Dan dari kejahatan malam apabila Telah gelap gulita,
4. Dan dari kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul[1609],
5. Dan dari kejahatan pendengki bila ia dengki. "

[1609] Biasanya tukang-tukang sihir dalam melakukan sihirnya membikin buhul-buhul dari tali lalu membacakan jampi-jampi dengan menghembus-hembuskan nafasnya ke buhul tersebut.

Maka daripada penyakit inilah bermulanya hampir seluruh kejahatan sesama manusia. Suatu tingkah laku yang sama sekali tidak mendatangkan sebarang keuntungan kepada si pelakunya.
Demikian kerana orang yang dengki ini sebenarnya tidaklah mahu memiliki sebarang nikmat yang orang lain miliki. Tetapi ia sekadar membusukkan hati dan tidak senang melihat keberuntungan orang lain. Biarlah dirinya tidak mendapat apa-apa asalkan mangsa dengkinya itu berada dalam kehilangan atau kemusnahan. Ia lebih teruk daripada sikap lain seperti tamak yang masih ada kepentingan atau mengharapkan manfaat bagi diri si pelaku.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: ”Jauhkanlah dirimu daripada perbuatan hasad dengki kerana ia akan memakan kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar. ” (Riwayat Abu Daud dan Baihaqi)

Rasulullah SAW juga pernah ditanya mengenai manusia manakah yang paling utama. Lalu Rasulullah SAW bersabda: ”Setiap orang yang bersih hatinya dan benar kata-katanya. ” Lalu para sahabat bertanya: ”benarnya kata-kata itu dapat kamu mengetahuinya. Maka apakah yang dimaksudkan dengan bersih hati?” Rasulullah SAW menjawab: ”Bersih hati adalah taqwa dan bersih yang tiada dosa, tidak derhaka, tidak khianat dan tidak hasad dengki. ” (Riwayat Ibnu Majah, Baihaqi, dan selain daripada mereka)

Persahabatan yang harmoni perlulah bebas daripada sebarang hasad dengki kerana ia bukan sekadar akan menghilangkan fungsi persahabatan, malahan akan menghancurkan masyarakat dengan permusuhan yang tidak akan berkesudahan.

Orang yang berpenyakit hasad dengki ini agak sukar untuk dirawat. Tidak menerima sebarang penawar dan tidak pula akan terhapus dengan kekerasan atau pembalasan. Kalau ianya telah mula marak dengan nyalaannya, maka merawat itu paling lebih hanya mampu meredakan atau menangguhkannya saja. Kelak ia akan bernyala semula.

Kalau hendak dibalas, iaitu dengki dibalas dengki atau dengki dibalas dengan kekerasan, maka semakin besarlah nyalaannya. Sehingga orang yang membalasnya pun akan turut sama mendengki. Sesungguhnya Islam tidak menggalakkan agar kejahatan itu dibalas dengan kejahatan.

Mudah sebenarnya cara untuk menangani orang yang hasad dengki ini jika kena caranya. Ada pepatah arab yang bermaksud sebegini: ”bersabarlah terhadap perbuatan dengki, kerana kesabaran itu mampu membunuhnya. Sesungguhnya api itu akan memakan sebahagian daripada dirinya jika tiada makanan lain baginya. ”Begitulah diantara cara paling tepat untuk menghadapi seseorang yang hasad dengki ini atau sekiranya ia adalah salah seorang daripada sahabat kita, mungkin ada lagi peluang untuk menyelamatkannya serta membersihkan jiwanya.

Kita perlulah membanyakkan amalan suka membantu, merasa belas kasihan, ihsan, redha, bersabar, taqwa kepada Allah dan suka mendoakan kejayaan orang lain. Kita patut bergembira dengan kejayaan sahabat kita yang lain agar kejayaan dan kegembiraan yang diperolehi itu dapat dikongsi lalu akhirnya dirasakan umpama ianya milik bersama.

Sesungguhnya rezeki dan nikmat Allah SWT adalah untuk sekalian makhluk. Ianya hanya pinjaman dan bukanlah sesuatu yang boleh dimiliki dengan kekal melainkan kebahagiaan di akhirat. Bersangka baik juga merupakan salah satu asas yang amat penting dalam sesebuah persahabatan. Firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 12,

12. Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan purba-sangka (kecurigaan), Karena sebagian dari purba-sangka itu dosa. dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bremaksud: ”jauhilah prasangka kerana prasangka itu pembicaraan yang dusta. ” (Muttafaqun Alaih)

Kita perlu bersangka baik terhadap orang lain terutama sahabat. Islam melarang daripada berprasangka buruk, tetapi Islam menggalakkan umatnya untuk sentiasa berhati-hati iaitu terhadap orang awam yang tidak dikenali dan bersangka baik terhadap sahabat.

Pernahkah kita mengalami situasi pekedai terkurang memulangkan wang baki dan apabila menyedari perkara itu, beliau meminta maaf dan memberi jumlah yang betul?
Reaksi kita kepada situasi ini berbeza, ada yang tidak kisah, setengahnya pula berasa prasangka seolah pekedai sengaja hendak menipu pelanggan mencetuskan perasaan tidak puas hati. Kenapa sukar untuk kita menerima maaf yang dipinta kerana kesilapan adalah perkara lumrah dalam diri setiap insan.

Dalam bukunya yang tersohor, Bimbingan Mu’minin, Imam Ghazali menggariskan beberapa hak persaudaraan dan persahabatan, antaranya adalah ‘hak pengampunan’. Beliau mengunjurkan supaya keterlanjuran sahabat dalam hal agama boleh ditegur secara lemah-lembut. Sekiranya nasihat itu tidak diendahkan, selepas berkali kali, maka menurut sesetengah pendapat ulama salaf, hendaklah kita memutuskan perhubungan dengannya. Manakala ulama yang lain berpendapat, boleh diteruskan perhubungan dan rasa kasih sayang dengannya, tetapi harus membenci segala kelakuannya yang buruk itu.

Harga minimum sebuah persahabatan ialah kita berbaik sangka dengan dan nilai tertinggi persahabatan, mengutamakan sahabat lebih dari diri kita sendiri.

Bagaimana dengan keterlanjuran atau kekasaran sahabat terhadap diri kita pula? Imam Ghazali berpendapat, tiada keraguan lagi keutamaannya ialah sahabat tadi dimaafkan dan segala kesulitan dari sikap sahabat ditanggung sepenuhnya oleh kita. Tidak mungkinkah di sana ada insan yang akan mengambil kesempatan terhadap sifat pemurah kita mudah memberikan kemaafan itu? Sehingga kita sentiasa dipandang remeh dan perasaan kita tidak pernah diambil kira.

Seorang pakar motivasi pernah berkata, “Untuk maju ke hadapan, kenal pasti peristiwa lama yang mencengkam diri kita. Sukar untuk memaafkan akan menimbulkan dendam. Dendam inilah akan mencengkam diri kita. ”Kata beliau lagi, untuk melepaskan diri diri dari cengkaman perasaan ini kita boleh lakukan tiga perkara secara berperingkat iaitu terima kenyataan perkara yang berlaku sebagai takdir, maafkan orang yang melakukannya dan lupakan kisah itu.
Ketiga saranan ini berat untuk dilaksanakan kerana ia berkaitan dengan hati yang perlu dibelai untuk memaafkan. Dalam masa sama, kita letakkan diri kita sebagai orang yang memandang remah terhadap perasaan orang lain. Kita boleh merubah paradigma mengenai hal kemaafan ini.

Sekiranya secara secara sedar atau tidak kita telah bersikap sedemikian iaitu menganggap kesilapan terhadap sahabat kita boleh dimaafkan dengan mudah dan dilupakan dengan sebegitu mudah, maka kita perlu berfikir semula. Elakkan melukakan hati orang orang lain seperti kita tidak mahu dilukai.

SIAPA SAHABAT KITA

Di dalam persahabatan sebenarnya kita mencari seseorang yang bergelar ’teman setia’. Maka syarat-syarat yang perlu dimiliki oleh seorang ’teman setia’ itu sekurang-kurangnya merangkumi sepuluh perkara (Falsafah Hidup Hamka): Jangan ada maksud yang tidak jujur.
- Hendaklah seseorang itu beremosi dan tegas kepada kita pada waktunya.
- Jika perlu, ia suka berkorban untuk kita sesuai pada waktunya sebagaimana kita juga sanggup berkorban kepadanya.
- Sabar dan matang mengawal diri.
- Bersikap terus terang kepada kita.
- Diri kita dan rumah tangga kita dihormati olehnya.
- Budinya hendaklah lebih utama daripada kita. Luas akal pemikiran dan mulia tujuannya.
- Kalau perlu dan mendesak, ia sanggup mengorbankan apa yang perlu dan mahal buat kita.
- Dipersetujui jalan fikirannya dengan jalan fikiran kita.
- Rahsia kita disimpannya dengan baik.

APA ADA PADA PERSAHABATAN

Setiap yang Allah jadikan di atas muka bumi ini pasti mempunyai hikmah tersendiri. Begitu juga dengan setiap perkara yang digalakkan dan diperintah oleh Allah SWT. Setiap yang diperintahkan dan digalakkan mempunyai hubungan yang menepati fitrah manusia tersendiri.

Maka, apa yang kita perolehi daripada sesebuah persahabatan? Antara faedah yang perlu juga dijadikan sebagai tujuan dalam persahabatan ialah:
- Saling memberi atau menerima pelajaran dan pengajaran di antara satu sama lain.
- Saling memberi dan mengambil manfaat di antara satu sama lain.
- Memberi semangat, hiburan dan dorongan kepada orang lain untuk meneruskan hidup beribadat.
- Mewujudkan kerjasama bagi menghasilkan sesuatu yang terbaik pada setiap bidang.
- Memperolehi pahala dan menarik orang lain untuk bersama-sama beramal memperolehinya.
- Bersifat rendah diri dan hormat menghormati di antara satu sama lain.

Para sahabat di sekeliling kita itu ibarat cermin yang menunjukkan dan memberitahu kita tentang perihal yang kita sendiri tidak sedari. Semakin ramai kita bersahabat, maka semakin ramailah orang yang boleh memperbaiki hidup kita. Sehingga ada kalanya kebencian seorang sahabat itu sekalipun pasti akan memberi kesan yang positif terhadap kita. Sama ada ianya berbentuk nasihat, gurauan atau kebencian, ia tetap merupakan cermin kepada diri kita kerana ia datangnya daripada seorang sahabat.

KESIMPULAN
Kita perlu mengambil penilaian tentang sikap seseorang yang ingin kita jadikan sebagai sahabat. Adakah ia sesuai untuk menjadi sahabat kita? Cukupkah seorang sahabat itu sekadar dijadikan sebagai teman? Atau hanya sebagai kawan bertegur sapa? Atau sekadar untuk tidak mahu mempunyai musuh? Atau mungkin seorang yang perlu kita jauhkan diri daripadanya.

Ahli bijak pandai mengatakan bahawa: ”tidaklah kita akan memperolehi seorang sahabat yang baik kecuali setelah kita sendiri menjadi seorang sahabat yang baik kepada orang lain. ”

Jadi, sama-samalah kita renungkan kata-kata ini agar kelak kita akan sentiasa memperolehi manfaat daripada sesebuah persahabatan yang paling unggul dalam hidup kita insyaAllah.

Sekian. . . .Wasalam....